Saiz Huruf :   BESAR    SEDERHANA    KECIL

Zat besi ialah mineral penting dan komponen utama dalam penghasilan hemoglobin. Hemoglobin terdapat dalam sel darah merah, yang berfungsi membawa oksigen daripada paru-paru ke seluruh tubuh. Zat besi juga menyokong fungsi imun, metabolisme tenaga serta tumpuan. Apabila paras zat besi rendah, keupayaan tubuh untuk mengangkut oksigen akan menurun. Keadaan ini boleh menyebabkan keletihan, kelemahan, pening, sakit kepala, sesak nafas, kulit pucat atau degupan jantung yang laju. Golongan yang lebih berisiko mengalami kekurangan zat besi termasuk wanita yang datang haid, wanita hamil, bayi, kanak-kanak kecil, kanak-kanak dalam fasa pertubuhan, serta individu yang mengamalkan pemakanan vegetarian dalam jangka masa panjang




Sumber Makanan Zat Besi:


Zat besi wujud dalam dua bentuk:


• Zat besi heme (lebih mudah diserap): kebanyakannya boleh didapati daripada sumber haiwan seperti daging dan organ dalam


• Zat besi bukan heme (kurang mudah diserap): kebanyakannya boleh didapati daripada sumber tumbuhan





Cara untuk Meningkatkan Penyerapan Zat Besi:



1. Gabungkan makanan kaya zat besi dengan vitamin C


Vitamin C membantu meningkatkan penyerapan zat besi bukan heme. Apabila makan bayam, kekacang atau tauhu, padankan dengan makanan tinggi vitamin C seperti jambu batu, kiwi, betik, lada benggala atau brokoli.


2. Elakkan minum teh atau kopi sejurus selepas makan


Tanin dalam teh dan kopi boleh mengurangkan penyerapan zat besi. Sebaiknya tunggu sekurang-kurangnya dua jam selepas mengambil makanan kaya zat besi sebelum minum minuman tersebut.




Kesimpulannya, mendapatkan zat besi yang mencukupi bukan sahaja bergantung pada jumlah zat besi yang anda makan, tetapi juga sejauh mana tubuh badan menyerapnya. Dengan memilih makanan kaya zat besi, mengabungkannya bersama nutrien yang lain secara bijak, serta mengelakkan faktor yang mengganggu penyerapan, barulah zat besi yang dimakan dapat digunakan secara lebih berkesan oleh tubuh badan, lantas menyokong tahap tenaga dan kesihatan keseluruhan anda.